Rabu, 3 Ogos 2016


SEJARAH KAMBING KATJANG



Kambing kacang yang dipercayai berasal dari Malaysia dan Indonesia. Ia merupakan baka asas yang perlu dipertingkatkan. Walaupun ianya kecil dan pendek, kambing kacang amat tahan lasak. Mengikut kajian Jabatan Perkhidmatan Haiwan, hanya 40% kambing tempatan yang dilihat dikampung-kampung merupakan kambing kacang (asli), selebihnya adalah kambing kacukan dengan pelbagai baka yang telah dibawa masuk ke Malaysia.
Selain dari saiz badannya, ia mempunyai tanduk yang melentur ke atas dan kebelakang. Telinganya tegak kesisi dan janggut terdapat pada kambing jantan dan jarang pada kambing betina. Dari pandangan sisi, mukanya kelihatan lurus dan tirus.
Lehernya pendek dan bahagian belakang lebih tinggi dari bahu. Kulit badannya nipis tetapi berbulu kasar. Warna bulu biasanya hitam, coklat dan kadangkala terdapat tompok-tompok putih di kaki atau badan. Purata ketinggian 55-60 cm. kadar kelahiran kembar adalah baik dan pengeluaran susu adalah sedikit iaitu 0.3 kg/hari (3 bulan pertama) dan 0.2 kg/hari (4-6 bulan). Berat lahir ialah 1.6 kg (jantan) dan 1.8 kg (betina) manakala berat dewasa, 25-30 kg (jantan) dan 20-25 kg (betina).



SEJARAH KAMBING BOER



Baka kambing Boer dipercayai adalah hasil kacukan daripada baka Afrika dengan baka-baka lain daripada Eropah (termasuk Belanda) dan India. Lantaran itu, ia mempunyai pelbagai rupa bentuk dan warna. Secara amnya, warna boleh berbeza di bahagian kepala dan tengkuk manakala badan yang putih merupakan cirinya yang universal. Baka Boer yang standard menunjukkan warna coklat kemerah-merahan dibahagian kepala, badan berwarna putih serta mempunyai daun telinga yang besar, dengan 75% atau lebih berwarna coklat. Memandangkan potensi pasaran yang ditamppilkan oleh baka ini, maka kajian yang lebih sistematik ke atasnya telah dijalankan termasuk penubuhan Persatuan Pembiabaka Baka Boer Afrika Selatan pada tahun 1959. Program kajian selanjutnya terus dilaksanakan sehingga tahun 70-an, baka kambing Boer mulai hangat diekspot ke merata dunia sama ada secara ternakan hidup atau pemindahan embrio sejuk beku ke Negara-negara seperti Australia, New Zealand, Kanada, India Amerika Syarikat, China, Malaysia dan lain-lain lagi.


Kini, Afrika Selatan sahaja telah membela sebanyak 3 juta ekor kambing Boer dan merupakan hub penyelidikan dan pembangunan Boer yang baik sekali di dunia khasnya penghasilan air mani dan embrio Boer dengan kaedah yang moden. Di samping itu, induk betina Boer juga mempunyai kadar ovulasi sehingga boleh menghasilkan 5 biji telur atau purata 2.1 biji telur bagi setiap induk betina. Kambing Boer jantan akan matang pada umur 6 bulan manakala yang betina lambat sedikit pada umur 8-11 bulan. Berat badan boleh bertambah pada 200-300 g/hari dan mempunyai kadar kelahiran setinggi 200%. Boer juga adalah ternakan ruminan yang boleh membiak sepanjang tahun dengan kebolehan membiak sebanyak 3 pusingan dalam masa 2 tahun.

Selasa, 2 Ogos 2016


KLASIFIKASI BUAH KELAPA SAWIT



1.

Tandan Masak ialah tandan segar yang berwarna oren kemerahan dan mesokarpa buah lapisan luarnya berwarna oren. tandan ini mempunyai sekurang-kurangnya sepuluh (10) soket segar buah relai dan lebih daripada lima puluh peratus (50%) buah masih melekat pada tandan semasa pemeriksaan di kilang. Tandan dan buah relai hendaklah dihantar ke kilang dalam masa 24 jam selepas dituai.



2.

Tandan Mengkal ialah tandan segar yang berwarna oren kemerahan dan mesokarpa buah lapisan luarnya berwarna oren kekuningan. Tandan ini mempunyai kurang daripada sepuluh (10) soket segar buah relai semasa pemeriksaan di kilang. Tandan dan buah relai hendaklah dihantar ke kilang dalam masa 24 jam selepas dituai.



3.

Tandan Muda ialah tandan segar yang berwarna hitam atau ungu kehitaman dan mesokarpa buah lapisan luarnya berwarna kekuningan. Tandan ini tidak mempunyai soket segar buah relai semasa pemeriksaan di kilang. Soket buah relai (jika ada) pada tandan buah muda bukan disebabkan oleh proses kemasakan biasa.



4.

Tandan Terlalu Masak ialah tandan segar yang mempunyai buah berwarna merah tua dan lebih daripada lima puluh peratus (50%) buah telah relai daripada tandan tetapi sekurang-kurangnya sepuluh peratus (10%) buah segar masih melekat pada tandannya semasa pemeriksaan di kilang. Tandan dan buah relai hendaklah dihantar ke kilang dalam masa 24 jam selepas dituai.



5.

Tandan Kosong ialah tandan yang lebih daripada sembilan puluh peratus (90%) buah telah relai dari tandannya semasa pemeriksaan di kilang.



6.

Tandan Busuk ialah tandan yang sebahagian atau kesemua bahagian tandan dan buah relainya telah berubah warna kepada kehitaman, busuk dan berkulat.



7.

Tandan Tangkai Panjang ialah tandan segar yang mempunyai tangkai melebihi 5cm diukur dari paras terbawah tangkai tandan.



8.

Tandan Tidak Segar ialah tandan yang telah dituai dan dibiarkan di ladang lebih daripada 48 jam sebelum dihantar ke kilang dan semua atau sebahagian buah serta tangkainya telah layu. Tangkai tandan tidak segar biasanya kering dan berwarna kehitaman.



9.

Tandan Lama ialah tandan yang telah dituai dan dibiarkan lama di ladang sebelum dihantar ke kilang. Buah yang masih melekat pada tandan ini telah kecut dan berwarna perang kehitaman. Tangkainya juga telah kecut, lembut, berserabut dan warna kehitaman.



10.

Tandan Kotor ialah tandan yang lebih separuh daripada permukaan buahnya berlumpur, berpasir, beramang dan dicampur dengan batu atau jirim-jirim asing yang lain.



11.

Tandan kecil ialah tandan yang mempunyai buah yang kecil dan beratnya kurang daripada 2.3 kg (5lb).



12.

Tandan Rosak ialah tandan yang lebih daripada tiga puluh peratus (30%) bahagian buahnya telah rosak diserang oleh binatang-binatang perosak terutamanya tikus.



13.

Tandan Berpenyakit ialah tandan yang mempunyai buah yang tidak normal dari segi saiz atau kepadatannya atau tandan yang mempunyai lebih daripada lima puluh peratus (50%) buah 'parthenocarpic'.



14.

Tandan Dura ialah tandan segar yang buahnya mempunyai ciri-ciri seperti tebal tempurung (2-8 mm), nisbah tempurung dengan buah (25%-50%), nisbah mesokarpa dengan buah (20%-60%), nisbah isirong dengan buah (4%-20%) dan tiada gelung di sekeliling biji.



15.

Buah Relai ialah buah yang berwarna oren kemerahan yang gugur daripada tandan segar kerana masak. Buah relai hendaklah dihantar ke kilang dalam masa 24 jam selepas tandan dituai.



16.

Tandan Basah adalah merujuk kepada konsignasi buah kelapa sawit yang mempunyai kandungan air yang berlebihan.